Drama ‘Biar Mereka Cemburu’ Pertaruh Genre Komedi Romantik

Drama ‘Biar Mereka Cemburu’ Pertaruh Genre Komedi Romantik

Drama bersiri ‘Biar Mereka Cemburu’ merupakan sebuah lagi naskah adaptasi novel dengan judul yang sama nukilan Anuar Darwisy yang mengangkat genre komedi romantik terbitan syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd. Drama 16 episod arahan sutradara handalan MP Roslin Md Sharif ini turut menampilkan Dato’ Zaiton Muhd Jiwa selaku penerbit serta barisan penulis skrip yang terdiri daripada Abdul Adzim Shahabudin, Ayuni Zamani dan Baizurah Kahar.

‘Biar Mereka Cemburu’ bakal bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 1 Disember 2020 menerusi slot Megadrama secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform iQIYI untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Emarina Kamal, Pengurus Saluran Astro Ria berkata, “Berdasarkan rekod cemerlang kandungan drama yang pernah ditayangkan menerusi slot Megadrama sebelum ini, drama bersiri yang mengangkat genre komedi romantik sering mendapat tempat di hati para peminat drama melayu tempatan. Sifirnya mudah, audiens kami gemarkan naratif penceritaan yang ringan tetapi padat dengan elemen ‘feel good’ dan mesej-mesej tersirat. Oleh itu, kami yakin naskah taruhan terbaharu menerusi ‘Biar Mereka Cemburu’ ini sekali lagi mampu membekaskan kesan yang mendalam kepada para penonton setia di saluran kami. Seperti yang kita tahu, telah banyak perkongsian menarik mengenai kisah penghantar makanan yang sering tular di media sosial. Malah, mereka turut dianggap sebagai pejuang barisan hadapan atau ‘frontliner’ yang bertungkus-lumus menyumbang bakti kepada masyarakat terutamanya ketika musim Covid-19. Watak penghantar makanan juga dilihat cukup dekat dengan masyarakat zaman sekarang kerana perkhidmatan tersebut tidak asing lagi serta sudah menjadi trend gaya hidup bagi memudahkan, menjimatkan masa dan mengurangkan bebanan tugas seharian. Justeru, keputusan untuk menukar watak asal gadis konduktor bas seperti di dalam novel kepada penghantar makanan untuk disesuaikan dengan keseluruhan jalan cerita adalah tepat pada masanya sekaligus memberikan suntikan segar untuk tatapan penonton. Selamat menonton dan semoga terhibur!”

Trivia Drama `Biar Mereka Cemburu`

  1. Drama ‘Biar Mereka Cemburu’ merupakan drama pertama yang menggandingkan Aiman Hakim Ridza dan Nabila Razali selaku teraju utama.
  2. Setelah tiga kali berturut-turut menyiarkan drama berat, slot Megadrama di saluran Astro Ria kembali membawakan drama ringan yang mengangkat genre komedi romantik menerusi ‘Biar Mereka Cemburu’. Sebelum ini, drama ‘Pelindung Seorang Puteri’, ‘Bidadari Kiriman Tuhan’ dan ‘Perempuan Tanpa Dosa’ telah ditayangkan menerusi slot yang sama.
  3. Drama ‘Biar Mereka Cemburu’ merupakan drama pertama lakonan Aiman Hakim Ridza selepas menamatkan zaman bujangnya bersama pelakon jelita, Zahirah MacWilson. 
  4. Drama ini juga merupakan drama terakhir lakonan Aiman Hakim Ridza sebelum berlepas ke Perth bersama isterinya untuk menyambut kelahiran anak sulung mereka di sana.
  5. Jika mengikut novel asal, watak Nadia yang dilakonkan oleh Nabila Razali merupakan seorang gadis yang bekerja sebagai konduktor bas. Oleh kerana kerjaya tersebut tidak lagi wujud pada zaman sekarang, watak tersebut terpaksa ditukarkan kepada penghantar makanan kerana dilihat lebih bersesuaian dengan jalan penceritaan dalam drama ‘Biar Mereka Cemburu’.
  6. Nabila Razali turut mengalami kemalangan kecil pada hari pertama penggambaran ketika sedang menjayakan babak lakonan sebagai gadis penghantar makanan dalam drama ini. Selain daripada terjatuh di atas kereta yang digunakan sebagai ‘prop’, Nabila juga hampir melanggar salah seorang krew teknikal yang sedang bertugas.
  7. Nabila Razali juga telah membeli sebuah motosikal skuter dengan model yang sama sebagai kenangan selepas tamat menjalani penggambaran drama ini.
  8. Lokasi utama penggambaran drama ‘Biar Mereka Cemburu’ telah dijalankan di sekitar Lembah Klang serta mengambil masa lebih kurang 45 hari untuk diselesaikan sewaktu sedang dalam tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang lalu.

Barisan Pelakon `Biar Mereka Cemburu`

  • Aiman Hakim Ridza sebagai TENGKU EIDIL
  • Nabila Razali sebagai NADIA 
  • Izzat Mushtaq sebagai ROSTAM
  • Rubini Sambanthan sebagai MARSHA GORDON
  • Aedy Ashraf sebagai FETRI
  • Dato’ Shah Rezza sebagai TENGKU ALAUDDIN
  • Mas Anizan sebagai ENGKU ZULAIKHA
  • Bella Dowanna sebagai NABILA
  • Hasmira Azmi sebagai SOFEA
  • Syahir Shafein sebagai REZA
  • Adam Malek sebagai NABIL

Sinopsis Drama ‘Biar Mereka Cemburu’

Drama ‘Biar Mereka Cemburu’ mengisahkan tentang Tengku Eidil yang merupakan pengarah kreatif di sebuah syarikat pengiklanan terkemuka dan sedang bercinta dengan Marsha Gordon. Namun, detik hatinya untuk berubah ke arah ukhrawi membawanya jauh dari rancangan untuk berkahwin dengan Marsha. Nadia ialah seorang penghantar makanan untuk sebuah kedai makan yang dimiliki oleh  kawan baiknya, Rostam. Dalam masa yang sama, Nadia turut menyimpan hasrat untuk bergelar jurufoto profesional.

Takdir menemukan mereka berdua apabila pada suatu petang semasa sedang menghantar makanan, Nadia berhenti di tepi jalan dan Eidil terlanggar lopak air lalu menyebabkan ia terkena pada Nadia tanpa sengaja. 

Nadia yang degil dan ceria pada luarannya sebenarnya menyimpan beban dan kesedihan yang hanya mampu dipendam kerana tertekan dengan kesibukan kerja demi mencari rezeki untuk menampung perbelanjaan keluarganya di kampung semenjak bapanya dipenjarakan angkara Nadia sendiri. 

Eidil juga tidak kurangnya, keadaan di rumahnya berantakan kerana adik tirinya Fetri yang sering bermasalah. Fetri mencemburui dan berdendam dengan Eidil kerana dia juga mencintai Marsha pada masa yang sama. 

Eidil mula mendekati Nadia kerana tertarik dengan perwatakannya. Sedikit sebanyak Eidil semakin banyak berubah ke arah yang lebih baik, seperti yang diharapkan oleh bapanya Tengku Alauddin. 

Walaupun cuba untuk mengelak dari Eidil, Nadia terkejut apabila kursus fotografi yang dihadirinya rupanya diketuai oleh Eidil yang juga merupakan seorang jurufoto terkenal. Marsha pula semakin gilakan Eidil dan mula menyiasat tentang Eidil dan Nadia. Sedikit demi sedikit rahsia kehidupan Rostam yang sudah lama mencintai Nadia mula berasa cemburu pada Eidil, namun dia akur yang dia perlu meraih cinta Nadia dengan cara yang adil.