Dominasi Penyanyi Tempatan Di Pentas ‘GV7`

Dominasi Penyanyi Tempatan Di Pentas ‘GV7`

Tanpa perlu pengenalan panjang lebar, program realiti popular ‘Gegar Vaganza’ atau ‘GV’ ialah sebuah pertandingan nyanyian terbitan Astro Ria menampilkan barisan penghibur berpengalaman yang pernah masyhur dan diberi kesempatan untuk kembali menjenamakan semula nama mereka di persada seni tanah air. 

Mengangkat tagline ‘Mara Suara Membara’ untuk edisi terkini, ‘GV7’ yang bakal dilaksanakan mengikut SOP dan rutin kelaziman baharu ini juga turut mencatatkan rekod bilangan penyertaan terbanyak sepanjang sejarah penganjuran edisi sebelum ini. 

Seramai 14 peserta yang pernah mewarnai gelanggang industri muzik suatu masa dahulu bakal menjadi pertaruhan besar pada musim kali ini yang terdiri daripada 6 penyanyi solo lelaki, 6 penyanyi solo wanita dan dua buah kumpulan. 

Enam peserta solo lelaki tersebut ialah vokalis kumpulan May iaitu MUS akan menyahut cabaran bersama-sama dengan bekas vokalis May dan Rusty Blade, YANTZEN. Turut menyertai senarai penyanyi solo lelaki ialah CLIFF UMAR (Projek Pistol), AJU (Success), OJA dan NOMAD

Sementara senarai penyanyi solo wanita yang bakal mewarnai ‘GV7’ ialah penghibur yang sinonim dengan gelaran Ratu Etnik iaitu NORANIZA IDRIS, ROZITA IZLYN, AYU DAMIT, LINDA NANUWIL, ASHIRA dan HASLINDA

Manakala dua buah kumpulan yang juga akan menyahut cabaran ialah INDIGO dan EVA. ‘GV7’ juga masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh barisan juri profesional. Peserta yang mendapat markah terendah pada setiap minggu akan disingkirkan. 

Terdahulu, penyanyi Ayai Ilusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5) serta Naqiu dan Hady Mirza (GV6) juga pernah dinobatkan sebagai juara ‘GV’ untuk penganjuran terdahulu.

Emarina Mohd Kamal, Pengurus Saluran Astro Ria berkata: “Memasuki edisi penganjuran ketujuh, pengaruh jenama ‘GV’ sebagai sebuah program hiburan ‘feel good’ yang berpengaruh kini semakin kukuh dan cemerlang. Peranan besar ‘GV’ selaku kayu penghubung yang ‘menyatukan’ peminat dunia seni hiburan tanah air juga jelas terbukti ekoran setiap kali musim baharu diterbitkan, program ini sentiasa menjadi sebutan penonton, bahan perdebatan netizen selain mengundang pelbagai ulasan daripada pengamal media, blogger serta pencinta seni tanah air. Ini sekaligus meletakkan ‘GV’ di antara program hiburan terbitan Astro yang paling ditunggu-tunggu saban tahun.

Untuk musim yang terbaharu, senarai 14 penyanyi yang akan beraksi di pentas ‘GV’ pada kali ini merupakan gabungan bintang-bintang daripada pelbagai latar belakang. Pemilihan tidak bersandarkan kepada lagu-lagu popular mereka semata-mata, bahkan pengalaman dan reputasi juga turut menjadi antara kriteria utama yang ditimbang tara. Bukan itu sahaja, senarai tersebut juga harus memenuhi tuntutan penonton kerana tanpa sokongan mereka, fenomena ‘GV’ tidak mungkin berkembang sehebat sekarang. 

Mungkin ada juga peminat di luar sana yang tertanya-tanya mengenai penyertaan dari negara jiran seperti musim-musim sudah kerana edisi kali ini cuma menampilkan seorang sahaja wakil luar iaitu Yantzen, penyanyi kelahiran Singapura yang kini menetap di Malaysia. Seperti yang semua sedia maklum, 2020 merupakan tahun yang sangat mencabar buat seluruh dunia ekoran penularan pandemik COVID-19. Krisis berkenaan telah membataskan banyak perancangan Astro termasuk produksi ‘GV’ sendiri yang sebetulnya sudah mempunyai senarai artis dari negara jiran yang ingin kami pelawa untuk bersama-sama memeriahkan musim ini. 

Namun begitu, segala perancangan yang diatur terpaksa ‘disimpan’ untuk dibawa ke musim hadapan atas faktor keselamatan selain terikat dengan syarat SOP yang ketat. Dalam masa sama, kami turut berpendapat bahawa ada hikmah di sebalik ujian yang melanda kerana penganjuran ‘GV’ kali ini menampilkan dominasi penyertaan artis tempatan. Bertepatan pula dengan semangat solidariti seluruh rakyat Malaysia dalam memerangi pandemik, maka ada manisnya apabila penganjuran kali ini membuka peluang kepada penghibur tempatan. Justeru, pentas ‘GV7’ ini secara rasminya dibuka untuk meraikan mereka dan semoga setiap peserta akan merebut peluang yang diberikan ini.”

Trivia Mengenai ‘GV7’

  1. Penerbitan ‘GV7’ turut disokong Farm Fresh yang hadir selaku Penaja Utama dengan kerjasama Adabi dan Cuckoo Healthy Home selaku Penaja Bersama selain Digi selaku Telco Rasmi. Manakala aplikasi Astro Go dan portal Gempak turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital serta SINAR sebagai Rakan Radio Rasmi untuk musim ini.
  2. Maestro muzik tersohor negara yang sudah sinonim dengan penglibatan beliau dalam keluarga besar ‘GV’ sejak musim pertama, Datuk Haji Ramli MS masih lagi dikekalkan sebagai juri tetap untuk musim terbaharu. Manakala penghibur ternama negara, Datuk Khadijah Ibrahim pula kembali menerima mandat sebagai juri tetap ‘GV7’ di samping Ramli MS setelah setahun berehat daripada tugas penjurian ‘GV’ musim lalu
  3. Selain itu, seorang juri jemputan profesional juga turut diundang khas secara bergilirgillir pada setiap minggu untuk menyertai juri tetap bagi mengadili persembahan para bintang.
  4. Setelah tujuh musim digandingkan bersama, selebriti versatil popular Nabil Ahmad dan Jihan Muse masih diberi kepercayaan untuk mengendalikan pentas utama selaku ‘Hos’. Sementara itu, personaliti SINAR; Falyq Hikyle dilantik sebagai ‘Hos’ untuk program ‘Kapsul Gegar Vaganza’. Manakala personaliti ERA; Daniel dan Fiza Frizzy pula digandingkan sebagai ‘Hos’ untuk program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ yang akan disiarkan secara serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.
  5. Juara ‘GV7’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM30 ribu beserta trofi. Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing-masing bakal membawa pulang RM20 ribu, RM15 ribu dan RM10 ribu beserta trofi.vsvdvvsfxc
  6. Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat, sumbangan wang tunai bernilai RM10 ribu akan turut diberikan kepada penerima terpilih menerusi segmen ‘Kongsi Rezeki’ bermula pada konsert ‘GV7’ minggu kedua hingga minggu kesepuluh.

Info Siaran Rangkaian program ‘GV7’

Rangkaian program ‘GV7’ akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) serta turut boleh diakses menerusi portal Gempak dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel. Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Kapsul Gegar Vaganza’. 

Untuk lima episod pertama, ‘Kapsul Gegar Vaganza’ akan disiarkan pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 5 Oktober 2020. Manakala siaran ulangan pula adalah pada jam 11.30 malam. 

Konsert mingguan ‘GV7’ pula akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 11 Oktober 2020. 

Untuk pengisian di platform digital, program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ akan disiarkan secara serentak di www.gempak.com/gegarvaganza ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘GV7’ bermula 11 Oktober 2020. 

Istimewa untuk pelanggan NJOI, konsert minggu pertama ‘GV7’ juga bakal disiarkan secara serentak di saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105). Selain itu, siaran penuh konsert minggu pertama juga boleh distrim menerusi program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ di platform Gempak pada hari tersebut.