Lebih Bertenaga, Kecomelan Berganda – #TomTomBak Kembali!

Lebih Bertenaga, Kecomelan Berganda – #TomTomBak Kembali!

Kekal diterajui pengacara tersohor negara, Datuk Aznil Hj. Nawawi, #TomTomBak musim terbaharu turut dijayakan nama-nama popular industri seperti Ramlah Ram, Kid Search, Ernie Zakri, Elfira Loy dan Sweet Qismina

27 Ogos 2019, Kuala Lumpur - Astro Ceria dengan berbesar hati melancarkan #TomTomBak musim terbaharu! Setelah 8 tahun tidak bersiaran, dengan menggunakan stail nama yang seiring dengan peredaran masa (meletakkan tanda pagar di hadapan), program popular di kalangan kanak-kanak, #TomTomBak kembali menceriakan penonton mulai 6 September 2019, setiap Jumaat, 8.30 malam di Astro Ceria (saluran 611). 

Program ini juga boleh diakses menerusi On Demand dan distrim di Astro GO. Mengimbas nostalgia, ‘Tom Tom Bak’ merupakan sebuah rancangan yang mempersembahkan aneka bakat dan ragam si cilik, telah mula bersiaran di saluran kanak-kanak nombor 1 di Malaysia, Astro Ceria, pada tahun 2007 dan melabuhkan tirainya pada tahun 2011.Sudah tentu, #TomTomBak kembali beraksi bersama pengacara tersohor negara, Datuk Aznil Hj. Nawawi atau lebih mesra dengan sapaan Pak Nil yang menggalas tanggungjawab sebagai pengemudi utama / hos rancangan.

Di musim terbaharu ini, Pak Nil yang begitu sinonim dengan jenama #TomTomBak turut terlibat secara langsung di hadapan dan di belakang lensa kamera produksi, seawal dari perbincangan konsep dan kandungan, pemilihan bakat-bakat cilik di fasa uji bakat serta sesi perkongsian informasi dan tips. Komitmen jitu yang ditonjolkan Pak Nil ini menjadikan beliau mudah mesra dengan kanak-kanak yang hadir di sesi uji bakat seterusnya di hari rakaman program.

#TomTomBak turut menyasarkan golongan dewasa sebagai audiensnya, justeru penelitian dari aspek pemilihan kandungan begitu dititikberatkan oleh pihak produksi. Uniknya musim kali ini, #TomTomBak bakal membawa tiga segmen utama yang pasti mampu memenangi hati penonton.

Di segmen ‘Ada Bakat’, terdapat persembahan yang penuh variasi dari bintang-bintang cilik termasuklah bermain gitar, menari gelek ‘ala’ Bollywood, bakat bercerita, ‘catwalk’ pertunjukan fesyen, persembahan kompang dan banyak lagi bakat-bakat unik yang lain. Seterusnya, segmen ‘Jom Borak’ akan menyaksikan keletah anak comel berceloteh bersama Pak Nil yang boleh membuatkan anda tidak kering gusi. Manakala di segmen ‘Ada Berani?’ pula, produksi menyuntik elemen ‘interaktif’ yang mana ia bukan sahaja mencabar bakat kanak-kanak yang membuat persembahan, malahan hos, tetamu-tetamu jemputan dan audiens di studio juga perlu beraksi di pentas utama apabila dicabar hos. Beranikah mereka? Kita saksikan #TomTomBak musim terbaharu mulai 6 September ini!

PETIKAN RASMI DATUK AZNIL HJ. NAWAWI, HOS #TOMTOMBAK

“Seperti umum sedia maklum, sebagai sebuah saluran yang memfokuskan kanak-kanak sebagai audiens sasarannya, Astro Ceria sentiasa berusaha untuk membawakan program-program yang bermanfaat lagi menghiburkan buat seisi keluarga. Didorong oleh sokongan padu penonton, terutamanya ibu bapa yang sentiasa dahagakan kandungan yang sesuai untuk anak-anak mereka, #TomTomBak dilancarkan semula buat musim yang terbaharu pada tahun 2019 ini.Sejujurnya, #TomTomBak merupakan satu jenama yang mempunyai kedudukan istimewa dalam hati saya. Bertitik tolak dari perbincangan di antara saya dan pihak produksi, kami bersetuju untuk mengembalikan kegemilangan #TomTomBak dan mempersembahkannya kepada generasi muda pada hari ini. #TomTomBak menyediakan platform dan membuka ruang untuk si cilik mempamerkan bakat mereka yang pelbagai, sama ada dari segi nyanyian, lakonan, pengacaraan, persembahan istimewa seperti membuat silap mata, dikir barat, tarian dan banyak lagi bakat-bakat unik lain. Di musim-musim terdahulu, kami telah berjaya mencungkil bakat ramai artis yang kini sedang menempa nama dalam industri hiburan tanah air. Di antaranya termasuklah Elfira Loy, Wafiy Aan, Sweet Qismina, Ezzrin Loy dan ramai lagi. Justeru, kami ingin mengulangi kejayaan ini dengan menggilap bakat-bakat baharu yang lain pula untuk dijadikan pelapis industri di masa akan datang. Kami berharap, dengan adanya edisi terbaharu #TomTomBak ini, pengisian dan mesej yang cuba kami sampaikan kepada audiens terutamanya di kalangan kanak-kanak dan ibu bapa dapat dimanfaatkan semua. Mudah-mudahan, #TomTomBak dapat dijadikan tontonan pilihan bagi anak-anak kecil di rumah dan memberi inspirasi positif kepada generasi muda untuk lebih berkeyakinan tinggi, berani dan seterusnya menggilap bakat-bakat mereka untuk diangkat ke satu peringkat yang lebih tinggi.”

TRIVIA MENARIK #TOMTOMBAK 2019

• Sesi ujibakat diaktifkan menerusi atas talian (‘online’), di mana ibu bapa atau anak-anak boleh memuat naik video mereka di laman Instagram dengan bertanda pagar #TomTomBakAudition dari 9 hingga 27 Julai 2019. Jumlah video persembahan bakat penuh variasi yang diterima produksi cukup memberansangkan dan mencecah hampir 1,000 penyertaan!

• Sebagai alternatif, pihak produksi #TomTomBak turut menganjurkan sesi uji bakat atas lapangan di The Mines Shopping Mall pada 3 dan 4 Ogos 2019, di mana telah menyaksikan kehadiran lebih dari 130 orang peserta cilik. 

• Menerusi penyertaan atas talian dan sesi uji bakat yang diadakan, seramai lebih kurang 50 orang kanak-kanak disenarai pendek untuk menyertai musim terbaharu #TomTomBak. Bakat-bakat ini adalah dalam lingkungan umur 3 hingga 16 tahun.

• Secara keseluruhan, terdapat 7 episod untuk musim ini, termasuk 1 episod pengenalan yang akan menyiarkan klip-klip menarik sepanjang berlangsungnya sesi uji bakat. Kesemua episod adalah berdurasi selama 30 minit. Sesi rakaman telah diadakan di Studio Visual Three, Seri Kembangan. 

• Bagi mengimbau kembali (‘throwback’) era kegemilangan ‘Tom Tom Bak’ di musim-musim terdahulu, ‘alumni’ atau bekas peserta rancangan ini seperti Wafiy Aan, Elfira Loy dan Sweet Qismina akan turut membuat penampilan istimewa dalam edisi terkini #TomTomBak. •Selain dari itu, nantikan juga kehadiran barisan selebriti terkemuka tanah air seperti Ramlah Ram, Kid Search, Ernie Zakri dan Alyssa (Ceria Megastar) di episod-episod yang akan datang.

• Seiring dengan peredaran masa hari ini yang rata-rata menyaksikan ramai di kalangan audiens yang menonton kandungan disajikan menerusi platform digital, kami memperkenalkan edisi terkini #TomTomBak dengan tanda pagar di hadapan. Ini turut memberi indikasi kepada penonton bahawa rancangan ini boleh turut ditonton di platform digital, Astro GO dan On Demand.