12 Peserta Gegar Vaganza Musim Kedua Diperkenalkan Secara Rasmi - Astro turut umum bahawa konsert mingguan kini disiarkan secara langsung untuk penganjuran musim yang terbaharu

12 Peserta Gegar Vaganza Musim Kedua Diperkenalkan Secara Rasmi - Astro turut umum bahawa konsert mingguan kini disiarkan secara langsung untuk penganjuran musim yang terbaharu

Kuala Lumpur, 12 Oktober 2015 - Setelah menobatkan penyanyi otai bersuara emas, Ayai Ilusi sebagai juara program Gegar Vaganza pada musim lalu, program realiti popular yang berkonsepkan pertandingan nyanyian terbitan Astro Ria dengan kerjasama pihak penaja Datuk Seri Dr. Hajah Vida, Pengasas Pamoga Vida Beauty Qu Puteh (Barulah Putih) iaitu Gegar Vaganza kini kembali lagi untuk musim yang kedua.

Bagi merancakkan lagi penganjuran tahun ini, konsert mingguan Gegar Vaganza akan turut disiarkan secara langsung dari Dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam selama lapan minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam bermula 18 Oktober 2015 secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan siaran serentak di Ria HD (123).

Memasuki musim yang kedua, pertandingan nyanyian Gegar Vaganza yang masih mengekalkan format yang sama ini bakal menyaksikan persaingan sengit di kalangan penyanyi profesional yang pernah mencipta nama di persada seni dan menjadi kegilaan ramai yang mana setiap peserta yang bertanding masing-masing mempunyai portfolio seni yang mengagumkan dalam bidang nyanyian suatu ketika dahulu.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria; Encik Raqim Ahmad berkata, Melihat kepada penerimaan positif dan sambutan yang cukup memberangsangkan sewaktu pertama kali diterbitkan musim lalu, ternyata percaturan berani Astro untuk meletakkan sekumpulan penyanyi profesional yang pernah mencipta nama suatu ketika dahulu di atas pentas untuk memperlihatkan kembali kehebatan vokal dan persembahan mereka yang mungkin sudah lama tidak dipertontonkan di khalayak ramai berjaya mencipta fenomena yang tersendiri di kalangan peminat seni hiburan tanah air. Sehubungan dengan itu, kami tidak teragak-agak lagi untuk menganjurkan pertandingan nyanyian Gegar Vaganza untuk musim yang kedua khusus untuk memenuhi permintaan ramai.  

Kami juga amat gembira dengan kesemua 12 barisan peserta yang telah bersetuju untuk bertanding pada tahun ini. Melihat kepada pengalaman mereka yang pernah mengecapi zaman kegemilangan dalam bidang nyanyian sebelum ini, kami percaya kesemua mereka bakal memberikan saingan yang cukup sengit sekaligus menyumbang kepada kejayaan musim ini. Persetujuan dan komitmen kesemua mereka untuk terlibat untuk menjayakan penganjuran tahun ini amat kami hargai dan pastinya musim kedua Gegar Vaganza akan lebih meriah dengan kehadiran mereka.

Di kesempatan ini juga kami ingin mengalu-alukan kehadiran pihak penaja Pamoga Vida Beauty Qu Puteh (Barulah Putih) yang sudi memberikan sepenuh kepercayaan untuk sekali lagi bekerjasama dengan kami bagi menjayakan penganjuran program Gegar Vaganza musim yang terbaharu,” ujar Raqim lagi. 

12 penyanyi tempatan yang bakal menjayakan Gegar Vaganza untuk musim yang kedua terdiri daripada enam peserta lelaki iaitu Amir Ukays, Ezad Exist, Nassier Wahab, Zul Handy Black, Achong Sweetchild dan Nizam Laksamana. Manakala enam peserta wanita pula adalah Azian Mazwan Safuan, Ezlynn, Sheeda, Faradhiya, Haiza dan Siti Nordiana.

 

Sama seperti musim sudah, nasib para peserta akan diadili sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh pihak juri yang telah dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. Peserta yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan.

Menarik lagi, terdapat tiga orang juri yang akan akan dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. Pengarah muzik terkenal Dato’ Haji Ramli MS dan penyanyi tersohor Dato’ Khadijah Ibrahim masih lagi dikekalkan sebagai juri tetap. Manakala seorang lagi juri akan diundang khas sebagai juri jemputan secara bergilir-gillir pada setiap minggu.

Selain itu, program Gegar Vaganza juga masih mengekalkan gabungan mantap pasangan pengacara, pelakon dan pelawak popular iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse sebagai pengacara program untuk musim ini.

Hadiah lumayan bakal menanti yang mana juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000 beserta trofi. Naib juara pula akan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 beserta trofi. Manakala pemenang tempat ketiga dan keempat pula masing-masing akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000 dan RM15,000 beserta trofi setiap seorang.

 

Sinar fm juga turut menghulurkan sokongan padu mereka yang tidak berbelah bahagi bagi menjayakan musim ini selaku Radio Rasmi. Selain itu, Gegar Vaganza juga turut disokong oleh Astro Gempak selaku Portal Hiburan Rasmi.