Tahfiz Muda Musim Kedua Tampil 12 Peserta Cilik | Press Release | Mediaroom | Astro

Tahfiz Muda Musim Kedua Tampil 12 Peserta Cilik

Tahfiz Muda Musim Kedua Tampil 12 Peserta Cilik

Program realiti Islamik kanak-kanak, “Tahfiz Muda” kini kembali di musim kedua serta melebarkan sayapnya di peringkat Nusantara dengan penglibatan peserta dari Indonesia. Musim ini memperlihatkan 12 tahfiz muda berumur dalam lingkungan 5 hingga 12 tahun dari serata pelusuk Malaysia dan Indonesia berjaya mendapat tempat sebagai peserta.

Nota Ringkas Tahfiz Muda 2017


  • “Tahfiz Muda 2017” merupakan sebuah program realiti yang menguji dan mencungkil kemahiran kanak-kanak terhadap kebolehan mereka dalam menghafaz kitab suci Al-Quran.
  • Mengangkat tema ‘Quranku, Sahabatku’, program yang bakal bersiaran selama tujuh minggu ini akan membawa penonton untuk menghayati Al-Quran sebagai panduan dan cahaya dalam hidup sekali gus menambahkan lagi ketaqwaan umat Islam kepada Allah SWT agar lebih gigih berusaha untuk memahami Al-Quran dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
  • Sesi ujibakat telah diadakan pada bulan September dan Oktober lalu di Kuala Lumpur yang mana menyaksikan kehadiran hampir 400 peserta dari Malaysia dan Indonesia yang mewakili negara-negara Nusantara. Jumlah peserta untuk musim ini meningkat kepada 12 orang berbanding 10 orang pada musim terdahulu. Mereka terdiri daripada 6 peserta lelaki dan 6 peserta perempuan.
  • 12 peserta tersebut adalah Naufal Haris Mohd Rizal (11 tahun, Johor), Muhammad Mikail Muhammad Lukman (8 tahun, Bangi), Gema Rasya Kaka Wiratama (9 tahun, Indonesia), Arif Nur Aiman Ahdin (11 tahun, Sabah), Mior Muhammad Hafizuddin Mir Idris (10 tahun, Kuala Lumpur), Siti Aisyah Firdaus (7 tahun, Selangor), Syauqiyah Firdaus Shahfuddin (10 tahun, Selangor), Nurul Syazliana Ayob (10 tahun, Pahang), Fatimah Az-Zahra Muwafik (5 tahun, Indonesia), Nur Khodijah Sohaimi (10 tahun, Selangor), Amna Nafisa Malik (8 tahun, Kuala Lumpur) dan Muhammad Fawwaz Mohd Farhan (11 tahun, Selangor) .
  • Untuk musim ini, program “Tahfiz Muda 2017” akan diadili sepenuhnya oleh empat orang juri iaitu Ustaz PU Hafiz dan Ustaz Don Daniyal sebagai ‘Hakim Munabbih (Hafazan)’, Ustazah Sharifah sebagai ‘Hakim Tilawah & Taranum’ serta Ustaz Zambri sebagai ‘Hakim Tajwid’.
  • Program ini juga sekali lagi akan menampilkan Imam Muda Asyraf sebagai ‘Pengacara’ untuk musim ini.
  • Istimewanya lagi, program ini turut menampilkan seorang pelakon dan pengacara wanita popular tanah air, Elfira Loy, yang bakal menggalas tugas ‘Pengacara Rehal’ bergandingan bersama Imam Muda Asyraf.
  • Bagi memeriahkan lagi musim kali ini, kami akan turut mengekalkan karakter animasi bernama ‘Adam’. Adam akan membuat penampilan diantara segmen dalam episod Persada Tahfiz Muda untuk berkongsi beberapa tips dan trivia menarik mengenai Al-Quran.


Petikan Kenyataan Rasmi

Ahmad Fuad Mat Ali, Pengurus Saluran Astro Oasis
“Pada musim kedua Tahfiz Muda ini, kami menemui ramai bakat cilik yang memiliki bakat besar dalam menghafaz Al-Quran dan memenuhi kriteria yang ditetapkan. Melihat akan sambutan positif ini, kami menambah jumlah peserta musim ini kepada 12 orang berbanding 10 orang pada musim yang lalu.

Memandangkan program ini masih lagi baru dalam kalangan penonton, kami masih mengekalkan format program seperti musim terdahulu dimana para peserta mempersembahkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan seterusnya dinilai oleh barisan juri. Kami berharap inisiatif yang diambil untuk terus menghidupkan budaya cinta dan hafaz Al-Quran dalam diri anak kecil terus mendapat sokongan padu daripada semua pihak.

Secara kesimpulannya, kami sendiri berasa amat berbesar hati kerana dapat menyediakan peluang kepada golongan kanak-kanak menerusi platform yang kami miliki untuk mereka mengasah dan mengembangkan bakat dalam hafazan, agar menjadi ikutan semua.”

Ringkasan Format Program


  • Setiap minggu, peserta akan menempuhi cabaran dan tema yang berbeza. Para peserta dikehendaki menghafal surah-surah yang terkandung di dalam juzuk ke-30 (Juz Amma) dan beberapa surah pilihan. Mereka akan dinilai daripada segi kelancaran hafazan, ketepatan tajwid, kreativiti bacaan (tarannum), keterampilan dan personaliti, pengetahuan asas fardu ‘ain serta idea kreatif persembahan.
  • Semasa mengadili peserta pada persembahan mingguan, barisan juri boleh menyoal peserta perkara berkaitan dengan surah yang dialunkan seperti teknik bacaan dan cerita di sebalik surah tersebut. Meraka juga boleh menanyakan soalan umum seperti kisah para Nabi dan sahabat serta soalan berkaitan fardu ‘ain.
  • Dalam beberapa persembahan pentas, peserta akan dicabar sama ada oleh barisan juri, Ikon Islamik jemputan mahupun penonton untuk menyempurnakan bacaan surah yang dipilih secara rawak oleh mereka.
  • Pemarkahan dibuat sepenuhnya oleh barisan juri dan peserta dengan jumlah markah terendah pada penghujung program akan disingkirkan pada minggu tersebut.


Hadiah Kemenangan


  • Juara - RM 10,000.00 dan sebuah trofi
  • Naib Juara - RM 7,000.00 dan sebuah trofi
  • Tempat Ketiga - RM 5,000.00 dan sebuah trofi
  • Tempat Keempat - RM 3,000.00 dan sebuah trofi


Penaja dan Media Rasmi


  • “Tahfiz Muda 2017” ditaja oleh Almas Beauty & Health Sdn Bhd.
  • Radio Zayan dan THR Gegar hadir sebagai ‘Sahabat Radio Tahfiz’.
  • Astro Circle sebagai ‘Sahabat Tahfiz’ dan Gempak sebagai ‘Sahabat Digital Rasmi’, manakala Raku sebagai ‘Sahabat Radio Digital’.


Butiran Siaran

“Tahfiz Muda 2017” akan bersiaran pada setiap hari Khamis mulai 14 Disember 2017 jam 9.00 malam di Astro Oasis (saluran 106) dan siaran serentak di Maya HD (saluran 135). Program ini turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan ‘on demand’.

Ikuti Berita Terkini Tahfiz Muda 2017

tahfizmuda.com.my
facebook.com/salammuslim
@MySalamMuslim
#TahfizMuda