WANITA TERINDAH - Gandingan sulung Fattah Amin dan Nur Fazura dalam sebuah FTV, istimewa untuk tayangan Astro First Eksklusif | Press Release | Mediaroom | Astro

WANITA TERINDAH - Gandingan sulung Fattah Amin dan Nur Fazura dalam sebuah FTV, istimewa untuk tayangan Astro First Eksklusif

WANITA TERINDAH - Gandingan sulung Fattah Amin dan Nur Fazura dalam sebuah FTV, istimewa untuk tayangan Astro First Eksklusif

‘Wanita Terindah’, karya adaptasi novel yang mengangkat kisah kasih anak dan ibu yang bisa meruntun jiwa penonton

 

KUALA LUMPUR, 1 November 2017 – Menyusuli kejayaan lagu ‘Wanita Terakhir’ ciptaan Aizat Amdan, Mel Ramlan dan Anas Amdan yang dipersembahkan sebagai single pertamanya pada bulan Januari 2017, bintang paling popular hari ini, Fattah Amin, mengorak selangkah lagi dengan mengangkat karya tersebut untuk menjadi sebuah novel indah. Diilhamkan daripada lagu ‘Wanita Terakhir’, novel tulisan penulis terkenal, Ezza Mysara yang dilancarkan pada bulan April 2017 di ‘Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017’ lalu habis terjual bak pisang panas. Lebih manis lagi apabila penulisan pertama Fattah Amin, ‘#99katakataFattahAmin #QalifModen’ turut dinobatkan sebagai ‘Buku Paling Popular’ di pesta buku tersebut.

Kini, pelakon berbakat besar yang baru sahaja menginjak ke usia 27 tahun pada September lalu kembali dengan sebuah lagi edisi hebat, menerusi filem televisyen (FTV) sulungnya yang berjudul ‘Wanita Terindah’. FTV yang diadaptasikan dari novel ‘Wanita Terakhir’ ini merupakan sebuah kerjasama di antara Astro First Eksklusif, penerbitan Red Films Sdn. Bhd. dan pengurusan Fattah Amin, FastyleAsia.

‘Wanita Terindah’ diarahkan oleh Joon Goh, sutradara yang pernah mendapat pengiktirafan di majlis-majlis penganugerahan berprestij di peringkat antarabangsa seperti di ‘John Bradbury Awards 2011’. Karya beliau turut menerima pencalonan akhir setanding naskhah hebat antarabangsa yang lain seperti di ‘Soho Shorts Festival’ dan ‘London Short Film Festival’. Manakala pelakon, pengacara dan penulis skrip yang tidak asing lagi dalam industri seni tanah air, Rafidah Abdullah sekali lagi menyarung jersi ‘Penulis Skrip’ untuk FTV ini. Dikenali sebagai seorang penulis skrip yang melakar karya dengan pendekatan ‘luar dari kotak’ atau ‘out of the box’, skrip yang beliau zahirkan sering dilihat kreatif dan bersifat ‘urban’ dan ‘trendy’. Karya-karya popular beliau termasuklah ‘Gol & Gincu’, ‘Manisnya Cinta di Cappadocia’, ‘Pisau Cukur’ dan ‘Istanbul Aku Datang’.

‘Wanita Terindah’ turut menyaksikan gandingan sulung Fattah Amin dengan pelakon wanita tersohor negara, Nur Fazura, dalam sebuah naskhah berbentuk FTV. Jika sebelum ini mereka telah mencetuskan fenomena apabila digandingkan sebagai pasangan kekasih dalam siri drama popular, ‘Hero Seorang Cinderella’, tidak mustahil jika kolaborasi ini sekali lagi bakal menggegarkan pentas hiburan tanah air.

FTV ini berkisar mengenai Fahim Aiman (lakonan Fattah Amin), seorang jurugambar di sebuah syarikat penerbitan akhbar yang memiliki perwatakan yang panas baran, kurang penyabar dan degil. Namun begitu, beliau yang merupakan seorang anak tunggal begitu akrab dan menyayangi ibunya (Puan Zahra), lakonan Liza Othman, sehingga menamakan wanita itu ‘Wanita Terakhir’-nya dan tiada wanita lain yang mungkin mampu menandingi ibunya. Mungkin kerana begitu menghargai pengorbanan ibunya selama ini yang membesarkan beliau secara bersendirian, Fahim begitu terkesan apabila ibunya membawa pulang seorang anak istimewa dari pusat jagaanANGSANAcare” yang mana ibunya berkhidmat sebagai seorang sukarelawan. Fahim tidak dapat menerima kehadiran Fikri (lakonan Nik Adam Mika) dan mula memberontak di awal kemunculan anak ini di rumahnya. Tambah merumitkan keadaan apabila Fikri merupakan seorang pesakit leukemia (kanser darah) dan memerlukan rawatan yang kerap, dengan kos yang tinggi.

Namun begitu, rakan sekerja Fahim yang juga merupakan seorang wartawan, Nuryn Nafeesa (lakonan Nur Fazura) berjaya mengubah persepsi Fahim akan Fikri dan beliau kemudiannya mula menerima anak kecil ini. Namun begitu, tatkala mereka mula meniti kebahagiaan sebagai sebuah keluarga, kecelakaan tiba-tiba menimpa keluarga ini dan Fahim kehilangan seorang insan tersayang. Ibunya telah terlibat dalam sebuah kemalangan jalanraya dan beliau tidak dapat diselamatkan.

Dalam pada itu, Nuryn pula terpaksa memaklumkan kepada Fahim pesanan ibunya sebelum menghembuskan nafas akhir. Ibunya berpesan agar Fahim menjaga Fikri kerana anak kecil itu merupakan adik kandung beliau sendiri. Lebih mengeruhkan keadaan apabila Fahim kini mengetahui bahawa bapanya yang selama ini diingatkan sudah tiada masih lagi hidup dan turut merupakan bapa kandung kepada Fikri. Namun begitu, Fikri ‘dibuang’ oleh bapanya kerana dianggap membebankan.

Bagaimanakah Fahim menerima semua ketentuan ini? Adakah beliau semakin memberontak sehingga melukakan hati mereka yang selama ini sentiasa berada di sisinya? Atau beliau redha dan menerima ini sebagai satu ujian dari Yang Maha Esa?

Ditanya mengenai produk terbaru Astro First Eksklusif ini, Ketua Saluran Astro First & Astro Best, Sharmin Parameswaran berkata, “Secara peribadi, saya amat teruja dengan edisi terbaharu yang bakal disiarkan di platform Astro First Eksklusif ini. Saya lihat, ‘Wanita Terindah’ ini memiliki kekuatan di banyak sisi yang berbeza. Paling ketara adalah dari segi pemilihan pelakon yang ditampilkan. Gandingan Fattah Amin dan Nur Fazura adalah sangat sepadan dan keserasian yang tercetus di antara kedua-dua figura ini sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Diapit pula dengan kehadiran pelakon berpengalaman, Liza Othman yang memegang watak sebagai ibu ternyata berkesan dan babak-babak utama yang beliau jayakan begitu meruntun jiwa. Buat julung kalinya juga, kita memperkenalkan bakat cilik, adik Nik Adam Mika sebagai salah seorang pendukung watak utama dalam FTV ini dan percaturan kami ini ternyata membuahkan hasil. Adik Nik Adam Mika berjaya menterjemahkan wataknya sebagai pesakit leukemia dengan baik sekali. Pujian wajar diberikan kepada beliau dan juga barisan para pelakon ‘Wanita Terindah’ yang lain termasuklah Sarah Hildebrand, Ridzuan Hashim dan ramai lagi.

Dari segi jalan penceritaan pula, ia bertepatan dengan objektif Astro First Eksklusif yang sentiasa ingin menampilkan kandungan yang penuh variasi dan mampu memenuhi citarasa penonton yang rata-ratanya terdiri dari pelbagai peringkat usia. FTV yang berlatar-belakangkan kisah kekeluargaan adalah salah satu genre pilihan utama kami kerana kami yakin, pendekatan seperti ini (dengan mengangkat filem-filem kekeluargaan), ia secara tidak langsung membantu memperkukuhkan institusi kekeluargaan kerana FTV yang ditayangkan di platform ini sesuai untuk ditonton bersama seisi keluarga. Saya pasti, penekanan yang diberikan akan kisah kasih seorang anak terhadap ibunya yang diangkat sebagai asas atau ‘base’ kepada FTV ini mampu mengingatkan kita semula akan pengorbanan ibu dalam membesarkan anak-anaknya. Ya, bak kata pelakon utama FTV ini beberapa kali di kala melontarkan dialognya, ‘Ibu adalah ‘Wanita Terakhir’ saya’ – satu kebenaran yang tidak mungkin boleh disangkal oleh sesiapa.”

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Red Communications dan Red Films, Lina Tan turut mengulas mengenai penglibatan sebuah badan NGO dalam menjayakan karya ini, Wanita Terindah berlatar-belakangkan kisah keluarga yang terpaksa berhadapan dengan isu salah satu penyakit yang membawa maut, iaitu kanser. Saya bersyukur kerana menerusi sebuah badan bukan kerajaan atau NGO, “ANGSANAcare”, saya diberi peluang untuk bertemu dengan beberapa orang pesakit kanser dan mengetahui dengan lebih lanjut lagi bagaimana ahli keluarga mereka berhadapan dengan situasi ini. Menerusi sesi perkongsian tersebut, saya kemudiannya menyuntik elemen kesedaran mengenai penyakit kanser dalam FTV ini bertujuan untuk mendidik masyarakat di luar sana agar sentiasa menghulurkan tangan memberi semangat dan sokongan kepada mereka yang menghidap penyakit ini. Kredit wajar diberikan kepada semua barisan pelakon terutamanya Fattah, Fazura, Sarah Hildrebrand, Liza Othman dan adik Nik Adam Mika kerana berjaya mendukung watak masing-masing dengan cukup berkesan. Secara peribadi, saya merasakan FTV ‘Wanita Terindah’ ini merupakan sebuah naskhah yang sangat istimewa dan mampu mengusik jiwa mereka yang menontonnya.”

Ketua Pegawai Eksekutif FastyleAsia, Fas Subari berkata, "Sebagai pihak pengurusan Fattah Amin, saya amat berbangga dengan corak kerjayanya yang semakin berkembang dan matang. Beliau tidak jemu memperbaiki diri sendiri dan juga berusaha untuk menjadi seorang artis yang terus berjaya.

Dari segi produksi pula, saya amat teruja dan berbesar hati kerana bukan sahaja mendapat peluang untuk bekerjasama dengan warga industri yang cukup terkenal dan berpengalaman, tetapi juga kerana ini merupakan produksi sulung kami yang sangat dinanti-nantikan.

Penghasilan filem ‘Wanita Terindah’ ini merupakan salah satu usaha kami dalam memperkukuhkan imej FastyleAsia sebagai salah sebuah syarikat pengurusan artis di Malaysia. Kami sentiasa berusaha untuk memberi dan membuka peluang untuk artis-artis kami untuk terus memperbaiki dan memperkuasakan kerjaya dan bakat mereka.

Saya percaya FTV ‘Wanita Terindah’ ini akan mula menjadi permulaan Fattah Amin untuk terus berkecimpung dalam dunia perfileman. Selain dari itu, kami amat tertarik untuk mengadaptasikan cerita ‘Wanita Terindah’ ini kerana jalan cerita dan mesej yang ingin disampaikan boleh diterima dan dihargai oleh semua orang tidak mengenal latar belakang.

Sebuah cerita yang ‘simple but deep’, saya percaya ‘Wanita Terindah’ bukan sahaja untuk orang yang sedang bercinta, namun kisah Fahim Aiman, Nuryn Nafeesa, Fikri, dan Puan Zahra boleh diterokai oleh sesiapa sahaja yang mencari erti cinta dan kasih sayang dalam hidup mereka."

Jangan lupa saksikan ‘Wanita Terindah’ di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 2 November 2017 (Khamis) ini. Dengan hanya RM 15.90 (termasuk GST) untuk sebuah filem, penonton boleh menyaksikan filem ini berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian. ‘Wanita Terindah’ juga boleh didapati di platform digital, ‘on demand’.