Tema ‘Kosong-Kosong Dari Hati’ Imarahkan Sambutan | Press Release | Mediaroom | Astro

Tema ‘Kosong-Kosong Dari Hati’ Imarahkan Sambutan

Tema ‘Kosong-Kosong Dari Hati’ Imarahkan Sambutan

Tema ‘Kosong-Kosong Dari Hati’ Imarahkan Sambutan

Ramadan Astro 2017

Tampil dengan 32 program baru, Astro terus perkasakan program Ramadan di semua platform media   

 

Kuala Lumpur, 9 Mei 2017 – Istimewa Ramadan tahun ini, Astro meneruskan tradisi untuk menggalakkan budaya kemaafan pada diri sendiri dan juga dari orang tersayang. Mengangkat tema ‘Kosong-Kosong Dari Hati’, Astro berharap dapat membangkitkan perasaan akan pentingnya keikhlasan dalam setiap perbuatan, tutur kata dan perilaku. Bersandarkan kepada nilai-nilai murni ini, Astro menerusi platformnya yang sedia ada; digital, televisyen, radio dan aktiviti on ground bertindak sebagai tunjang dalam menggerakkan kempen ‘Kosong-Kosong Dari Hati’.

‘Kosong-Kosong Dari Hati’ bukan sekadar mesej sahaja, malah elemen ini turut disuntik dalam program-program baru yang ditampilkan di platform Astro sepanjang bulan Ramadan ini yang mana semuanya boleh turut didapati di Astro Go dan On Demand, yang boleh ditonton pada bila-bila masa dan mengikut kepada kelapangan penonton.

Pelbagai program menarik menanti penonton di saluran-saluran utama berbahasa Melayu seperti Astro Oasis, Astro Ria, Astro Warna, Astro Prima, Astro Ceria serta program-program Nusantara, serantau dan antarabangsa di saluran seperti Fox Movies Premium HD dan One HD. Manakala filem-filem baru dan terhebat boleh ditonton di saluran Astro First dan Astro Best.

Astro Gempak, portal hiburan Melayu paling popular di Malaysia yang menyasarkan golongan ‘Malaynnials’ (remaja berumur 18 – 34 tahun) ini berjaya meraih lebih dari 420 juta tontonan digital setahun dengan kadar purata 2.1 juta pengunjung setiap bulan. Bersempena dengan bulan Ramadan ini, Astro Gempak bakal menawarkan program-program baru berjudul ‘Gemacoustic’, ‘Lawak & Charades Halal’ dan ‘Cer Puasa’. Malah, pengunjung laman portal ini juga boleh menikmati throwback drama dan telemovie terbaik seperti ‘Cinta Paling Agung’, ‘Suri Hati Mr Pilot’, ‘Isteri Separuh Masa’, ‘Awak Sangat Nakal’ dan rancangan realiti terkini seperti ‘Little Princess Aaisyah’.

Semangat Ramadan akan turut disemarakkan di platform radio; Era, Sinar dan THR Gegar, serta di platform digital yang lain seperti Rojak Daily Kaw! In Trend, Raku dan Salam Muslim. Selain itu, aktiviti kemasyarakatan ‘Projek #Darihati’ dan program Go Shop juga turut menzahirkan tema Ramadan tahun ini.

Ketua Saluran Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Azlin Reza Azmi berkata, “Bulan Ramadan merupakan antara bulan yang paling ditunggu-tunggu dan kami amat teruja untuk menyambut kehadiran bulan yang mulia ini bersama-sama penonton dengan pelbagai sajian program baru berunsurkan keagamaan dan hiburan kekeluargaan. Pelbagai rancangan yang penuh dengan variasi seperti program bual bicara, drama, filem, sitkom, travelogue, sketsa, telemovie, animasi, dokumentari, muzikal dan banyak lagi menanti penonton kami di luar sana.

Astro Oasis tampil dengan 16 buah program baru. Dengan bertemakan ‘Sahabat Muslimah Ramadan’, saluran Islamik ini akan memberi penekanan ke atas pengisian kandungan yang mengangkat martabat wanita dengan memaparkan perjuangan dan pengorbanan mereka dalam menguruskan kehidupan seharian seperti ‘Oki & Srikandi Al-Quran’, ‘Inspirasi Taqwa Dato’ Siti Nurhaliza’ dan juga program bual bicara terbaharu, ‘Bismillah Ad-Duha’.

Ramadan ini juga turut dimeriahkan lagi dengan program-program On Demand yang lain seperti telefilem istimewa ‘16 Puasa’ (Astro First), seleksi drama ‘Hero Seorang Cinderella’ (Astro Ria) dan ‘Megat Extend’ (Astro Warna), program variasi ‘Ring Ring Ringgit' (Astro Prima) begitu juga program ‘edutainment’ ‘Omar & Hana’ dan siri animasi pendek ‘Mengaji Upin & Ipin’ musim kedua (Astro Ceria).

Antara seleksi program antarabangsa yang bakal disajikan kepada penonton pula adalah filem ‘Hidden Figures’ dan ‘Logan’ (Astro Best), ‘Swallows and ‘Amazons’ (Fox Movies Premium), ‘Batman vs. Superman; Dawn of Justice’ (HBO), ‘Flower Crew’ (One HD) dan pelbagai lagi.

Di platform radio pula, ERA akan mengadakan program ‘Bazar Ramadan Petang ERA’. Stesen radio Sinar pula dengan program ‘Ramadhan Raya Free Market Sinar’, manakala stesen radio THR Gegar menerusi program ‘Gerai Ramadhan Gegar’.

Dalam pada itu, portal hiburan Rojak Daily Kaw! juga bakal membariskan seleksi video mengenai bazaar Ramadan yang menarik di Malaysia, kisah sambutan Ramadan selebriti popular bersama keluarga dan juga resepi-resepi ringkas untuk juadah berbuka dan bersahur.

In Trend menerusi laman portal dan majalah bagi edisi bulan Ramadan pula akan mengangkat kisah pengorbanan luar biasa insan-insan terpilih seperti kegiatan NGO dalam misi kemanusiaan di Syria dan kisah inspirasi seorang pemuda yang memilih jalan hidup untuk berbakti dengan pesakit lumpuh dan angin ahmar.

Aplikasi Salam Muslim akan memaparkan waktu solat dan waktu berbuka puasa. Selain daripada kandungan infografik menarik berkaitan Ramadan seperti petikan ayat Al-Quran dan perkongsian hadis, aplikasi ini juga mempunyai kandungan interaktif Islamik yang bermanfaat.

RAKU yang merupakan perkhidmatan penstriman muzik dan radio, turut menawarkan pelbagai kandungan digital sempena Ramadan ini seperti muzik Islamik, ceramah, tips menjalani ibadah puasa, pilihan tempat menarik untuk berbuka puasa dan macam-macam lagi.

Apa yang lebih Istimewa lagi, sempena dengan tema ‘Kosong-Kosong Dari Hati’ Astro turut melaksanakan aktiviti kemasyarakatan menerusi kempen ‘Projek #Darihati’. Inisiatif ini akan menyaksikan sukarelawan yang terdiri dari anggota Astro bergandingan bahu bersama komuniti setempat dalam menawarkan sumbangan berbentuk baju raya baru atau terpakai kepada 9 buah rumah kebajikan berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh Malaysia.

Mengulas dengan lebih lanjut lagi mengenai inisiatif ‘Projek #Darihati’ ini, Ketua Penjenamaan, Pemasaran Bahagian Melayu dan Astro Gempak, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Kami ingin mengajak masyarakat untuk turut sama menjayakan usaha murni yang akan dijalankan selama tiga minggu mulai 22 Mei sehingga 9 Jun ini dengan menyumbangkan seberapa banyak baju raya baru atau terpakai mereka yang masih dalam kondisi baik. Sumbangan boleh disalurkan di tujuh pusat pengumpulan terpilih iaitu di Pusat Khidmat Pelanggan Astro yang terletak di Jalan Burmah (Pulau Pinang), Seberang Prai, Damansara Utama, Ipoh, Cheras, Seremban dan Johor Bahru. Semua sumbangan yang diterima akan ditapis terlebih dahulu sebelum diagihkan demi memastikan hanya baju yang masih lagi dalam keadaan terbaik sahaja disumbangkan kepada penghuni-penghuni rumah kebajikan yang dipilih. Untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai kempen ini, orang ramai boleh melayari www.kosongkosong.com.my”.

Saluran membeli belah nombor satu Malaysia, Go Shop pula menerusi program istimewa ‘Tiket Syaaban’ dan ‘Syawal Vaganza’ memberi peluang kepada pembeli bertuah untuk ke Jepun, Jordan dan Beijing manakala pemenang seterusnya pula bakal membawa pulang baucar bernilai RM 500.00.

Go Shop turut memperkenalkan jenama terbaru, Hawa Adara, esklusif dari Go Shop yang menawarkan koleksi jubah dan hijab terkini. Koleksi pertama Hawa Adara ini terdiri daripada ‘Tudung Sofea’, ‘Tudung Baiduri’ dan ‘Jubah Aaira’. ‘Tudung Sofea’ menampilkan koleksi hijab asas yang versatil dan ia didatangkan dalam enam warna yang pasti akan menambat hati pelanggan kami. ‘Tudung Baiduri’ pula merupakan koleksi yang lebih anggun untuk ke majlis-majlis dan perayaan istimewa dan didatangkan dalam empat warna asas beserta perincian batu yang berlainan. Koleksi ‘Jubah Aaira’ pula melengkapkan koleksi ini dengan rekaan jubah yang klasik serta elegan dan didatangkan dalam dua warna yang menyerlah.

Sebuah rancangan berformat baru bertajuk “Go Pak Nil” akan ditayangkan untuk pertama kalinya pada 10 Mei, dan akan bersiaran secara langsung pada setiap hari Rabu dari 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Rancangan tersebut akan menampilkan format yang menarik, informatif dan menghiburkan bersama Datuk Aznil Haji Nawawi sebagai pengacara dan “Guru of Living”, menampilkan produk Terhebat, Terkini dan Terhangat dari Go Shop serta Produk Baru.

Dengan adanya himpunan program dan aktiviti sempena Ramadan serta ditambah pula dengan kepelbagaian pilihan platform yang ditawarkan, segala-galanya menjadi lebih mudah dan cepat. Pastinya sambutan Ramadan bersama Astro pada tahun ini akan lebih bermakna dengan penawaran kandungan Astro yang amat komprehensif, ikhlas #Darihati.