‘Cipta Kawan Cheek-e!’ Pertandingan Melukis Peringkat Kebangsaan | Press Release | Mediaroom | Astro

‘Cipta Kawan Cheek-e!’ Pertandingan Melukis Peringkat Kebangsaan

‘Cipta Kawan Cheek-e!’  Pertandingan Melukis Peringkat Kebangsaan

 

 ‘Cipta Kawan Cheek-e!’

Pertandingan Melukis Peringkat Kebangsaan

Hanis Zalikha turut sama mencari kawan rasmi Cheek-e

 

Kuala Lumpur, 8 Mei 2017Astro Ceria (saluran 611) yang merupakan salah satu saluran yang membawakan pelbagai rancangan khas buat kanak-kanak, akan melancarkan pertandingan mencipta maskot kumpulan rasmi saluran berkenaan menerusi pertandingan melukis ‘Cipta Kawan Cheek-e!’. Pertandingan yang mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan terbuka untuk semua kanak-kanak warganegara Malaysia berusia dalam lingkungan 4 hingga 14 tahun ini akan bermula hari ini, 8 Mei 2017 dan berakhir 21 Mei 2017.

Buat pertama kalinya, saluran ini telahpun memperkenalkan satu karakter comel berwarna biru yang dikenali sebagai Cheek-e. Justeru, pertandingan melukis ‘Cipta Kawan Cheek-e!’ ini bertujuan untuk mencari empat lagi kawan Cheek-e yang akan bersama-sama mewarnai Astro Ceria. Yang menariknya, hasil karya tersebut akan turut digunakan secara meluas oleh Astro Ceria dalam program kartun baharu yang berdasarkan konsep ciptaan kanak-kanak demi kanak-kanak.

Pengurus Saluran Astro Ceria, Marissa Hanafi berkata, “Setelah satu dekad Astro Ceria mewarnai hidup kanak-kanak, membuatkan saluran ini begitu dekat di hati mereka. Penonton cilik ini pasti akan lebih tahu apa yang mereka mahukan. Oleh itu, kami memberi kebebasan kepada mereka untuk menentukan imej kawan-kawan Cheek-e yang diingini. Selaras dengan tema Astro Ceria, ‘Untuk Kita Aje!’, kami percaya produk yang dihasilkan oleh kanak-kanak untuk kanak-kanak adalah yang terbaik buat saluran ini.

Pencarian empat kawan-kawan Cheek-e melalui pertandingan melukis ‘Cipta Kawan Cheek-e!’ ini ibarat serampang dua mata. Pertandingan yang dianjurkan ini tidak sahaja dapat mencungkil bakat seni lukisan kanak-kanak malah menggalakkan mereka untuk berimaginasi tinggi serta bermain dengan kreativiti masing-masing.”

Dalam usaha mencari empat kawan-kawan Cheek-e, Astro Ceria akan menjelajah ke 19 buah sekolah rendah terpilih di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Kelantan dan Sarawak di mana satu acara melukis kawan-kawan Cheek-e akan diadakan. Bagi kanak-kanak yang bukan pelajar dari 19 buah sekolah rendah terpilih tersebut, mereka dialu-alukan untuk menyertai pertandingan melukis ini dengan memuat turun templat lukisan yang berlakaran badan kawan Cheek-e melalui laman sesawang rasmi www.astro.com.my/cheeke.

Setelah tamat tempoh pertandingan, semua penyertaan akan ditapis dan dinilai sepenuhnya oleh barisan juri profesional sebelum pemilihan 40 penyertaan yang terbaik dibuat. Barisan juri profesional akan menilai setiap penyertaan daripada sudut kreativiti, impak visual dan ketepatan karya mengikut tema pertandingan. Daripada 40 yang terpilih, sebanyak 30 penyertaan akan menerima hadiah saguhati dan 10 penyertaan yang selebihnya akan di muat naik di laman sesawang rasmi pertandingan untuk melalui proses undian oleh orang ramai, terutamanya kanak-kanak.

Sistem pemarkahan bagi 10 penyertaan terbaik dijalankan berdasarkan 50 peratus jumlah undian daripada orang ramai dan 50 peratus lagi jumlah markah yang diberi oleh barisan juri profesional. Tugas juri profesional bagi pertandingan ini akan digalas oleh pelakon dan pengacara popular, Hanis Zalikha, dan empat lagi pengadil yang mempunyai latar belakang profesional yang berlainan.

Marissa menambah, “Kami amat berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran Hanis Zalikha dalam keluarga Astro Ceria. Untuk menilai karya kanak-kanak, lebih molek jika seseorang itu seorang yang kreatif, memiliki ciri-ciri keibubapaan dan memahami golongan si cilik. Hanis Zalikha yang juga merupakan seorang ibu dilihat menepati kriteria ini. Beliau memiliki imej seorang anak, kakak, ibu malah sahabat yang baik. Tambahan pula, karakter beliau yang peramah amat disenangi semua.”

Undian atas talian untuk 10 penyertaan terbaik akan berlangsung mulai 28 Mei 2017 hingga 4 Jun 2017. Dari situ, empat penyertaan dengan markah tertinggi akan dinobatkan sebagai pemenang, manakala baki enam penyertaan akan menduduki tempat kedua.

Pelbagai hadiah menarik menanti kanak-kanak yang berjaya. Bagi empat penyertaan terbaik, bukan sahaja lukisan mereka akan dijadikan sebagai kawan-kawan rasmi Cheek-e, malah mereka juga turut menerima sebuah Samsung Galaxy Tab A with S-Pen 16GB LTE Original. Bagi enam pemenang tempat kedua pula, mereka bakal membawa pulang sebuah kamera polaroid Fujifilm Instax Mini 8 dan 30 pemenang yang lain akan mendapat hadiah saguhati berupa satu set Lego Classic 10703 Creative Builder Box.

Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan ‘Cipta Kawan Cheek-e!’, sila layari www.astro.com.my/cheeke