Santapan Penamat MasterChef Malaysia bakal menemukan dua peserta yang mempunyai latar belakang yang cukup berbeza. Ezani, seorang Doktor Gigi muda bakal berhadapan dengan Wahidan, seorang pekebun yang berasal dari Sabah. Kedua-dua mereka telah melalui pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang berlangsungnya MasterChef Malaysia.
Cabaran terakhir kali ini memerlukan mereka menyediakan hidangan untuk 40 orang. Siapakah tetamu jemputan untuk cabaran terakhir ini? Mereka juga diberikan satu lagi kejutan apabila beberapa peserta MasterChef Malaysia yang telah tersingkir akan turut sama membantu menyediakan hidangan ini. Siapakah yang akan membantu Wahidan dan Ezani nanti?
Segala teka-teki yang bermain di minda peminat dan penonton MasterChef Malaysia bakal terjawab dalam Santapan Penamat yang akan bersiaran di Astro Ria dan Saluran HD pada Ahad, 8 Januari 2012, jam 9 malam. Pemilik hadiah wang tunai bernilai RM100,000 dan peluang menerbitkan buku masakan sendiri pasti akan terjawab esok.
